KEMAMAN - Polis berjaya menembak mati seorang lelaki dipercayai penjenayah dalam insiden berbalas tembakan di sebuah tapak projek perumahan di Felda Neram 1, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi itu, anggota polis yang sedang melakukan rondaan keselamatan di kawasan pembinaan berkenaan terserempak dengan lelaki terbabit yang berada dalam keadaan mencurigakan di salah sebuah rumah.

Lelaki Melayu dipercayai berusia lewat 30-an itu dikatakan terkejut dengan kehadiran anggota polis dan bertindak melepaskan beberapa das tembakan ke arah anggota polis berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim berkata, anggota polis berkenaan terpaksa membalas tembakan penjenayah itu untuk mempertahankan diri dan ia mengenai dada sebelah kanan dan kepala suspek.

"Ekoran itu suspek terjatuh ke atas lantai simen dalam itu rumah itu sebelum meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Polis turut menemui sepucuk pistol separuh automatik yang masih mempunyai sebutir peluru di dalamnya," katanya.

Menurut beliau, pihak polis sedang melakukan siasatan lanjut untuk mengenal pasti identiti suspek kerana tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui di lokasi kejadian.

Bagaimanapun, kata Mohd Said, dari siasatan awal lelaki terbabit adalah individu dikehendaki polis kerana dipercayai terlibat dengan beberapa kes jenayah di negeri ini, Pahang dan Kelantan.

Tambah beliau, mayat suspek kemudiannya dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Kemaman di Chukai untuk bedah siasat.

Katanya, pistol yang ditemui bersama suspek itu dirampas dan siasatan lanjut kes tersebut sedang dijalankan.