KUALA LUMPUR - Polis menahan dua lelaki selepas seorang pekerja lebuh raya ditetak dengan pedang samurai di Jalan Jalan Alam Damai, Cheras, semalam.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Zainuddin Yaacob, berkata, pada jam 4.39 petang semalam, polis menerima maklumat berhubung kejadian itu yang dipercayai berpunca daripada perselisihan faham sehingga menyebabkan seorang lelaki cedera.

Menurutnya, sebelum itu mangsa yang bekerja sebagai Penyelia Trafik Projek Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) mengarahkan seorang lelaki untuk mengalihkan kenderaan miliknya yang diletakkan di laluan keluar masuk tapak projek Lebuhraya SUKE.

Bagaimanapun, suspek tidak berpuas hati dengan teguran pengadu dan telah berlaku pertengkaran. Suspek kemudiannya telah menghubungi seseorang untuk membantu dirinya.

"Rakan suspek, seorang lelaki telah tiba dan menumbuk mangsa dan suspek telah bertindak mengambil senjata jenis pedang samurai dan menetak di bahagian belakang badan mangsa. Kedua-dua suspek kemudiannya telah beredar dari tempat kejadian.

"Akibat dari kejadian tersebut, mangsa mengalami kecederaan di muka serta bahagian belakang badan. Mangsa kemudiannya telah mendapatkan rawatan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM)," katanya dalam satu kenyatan hari ini.

Tambah beliau, hasil dari maklumat yang diterima, kedua-dua suspek berusia dalam lingkungan 23 hingga 25 tahun telah berjaya ditahan bagi membantu siasatan.

"Kesemua suspek akan ditahan reman bagi siasatan lanjut kes ini. Polis Kuala Lumpur juga telah merampas sebilah pedang samurai yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan (Akta 574), Seksyen 160 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.,"katanya.

Sehubungan itu, Polis Kuala Lumpur menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan sekiranya mempunyai sebarang maklumat hendaklah menyalurkannya kepada pihak Polis Kuala Lumpur.

Maklumat boleh disalurkan kepada Inspektor Muhammad Shahriman Othman, Pegawai Penyiasat Kes di talian 017-6528746 atau Deputi Superintendan Zolkifli Mohd Yasin, Ketua Bahagian Siasatan Daerah Cheras di talian telefon 019-2580008.