KULIM - Keengganan seorang murid berusia 10 tahun pulang ke asrama merungkai rahsia dirinya diliwat seorang guru di sebuah sekolah tahfiz di Padang Serai, di sini.

Rahsia itu terbongkar selepas ibu mangsa mendesak kanak-kanak itu menceritakan perbuatan guru lelaki berusia 25 tahun yang juga penjaga sebuah rumah sewa mereka.

Ketua Polis Kulim, Superintedan Ahmad Nasir Jaafar berkata, pihaknya menerima laporan polis daripada ibu bapa mangsa dan doktor Hospital Seberang Jaya yang memeriksa kanak-kanak terbabit.

“Selepas mendengar cerita kanak-kanak terbabit, ibu bapa mangsa membawanya ke hospital sebelum doktor yang melakukan pemeriksaan mengesahkannya dan laporan polis dibuat.

“Siasatan awal mangsa mengaku diliwat sebanyak tiga kali sejak Ogos lalu. Siasatan lanjut dijalankan termasuk memanggil beberapa murid yang tinggal di rumah sewa bersama suspek,” katanya.

Menurutnya, suspek kemudian ditangkap di rumah sewanya kira-kira jam 8.30 malam semalam dan ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini untuk membantu siasat kes di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan,” katanya.