NILAI – Belum sempat melayan ketagih, 10 lelaki termasuk tujuh daripada mereka yang leka menyediakan dadah untuk disedut dengan hidung ditahan di sebuah pusat karaoke di sini, malam tadi.

Menurut sumber, kesemua mereka hanya mampu melihat serbuk dadah jenis ketamin yang sudah ditaburkan di atas meja sebaik  penguatkuasa Majlis Perbandaran Nilai (MPN) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) negeri membuat serbuan.

"Mereka yang terkejut dengan kehadiran penguat kuasa tidak sempat melarikan diri dan ujian saringan air kencing kemudian mendapati mereka positif dadah.

“Pemeriksaan lanjut di lokasi mendapati tiga lagi lelaki turut positif dadah dan kes diserahkan kepada AADK untuk tindakan lanjut,” katanya kepada pemberita.

Sementara itu, Pegawai Undang-Undang dan Penguatkuasa MPN, Muhammad Shah Izat berkata, pihaknya mengetuai Ops Pusat Hiburan bersama AADK dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) di sekitar bandar ini, bermula jam 8 malam hingga 2 pagi tadi.

Menurutnya, dalam operasi itu, tiga pusat karaoke dan snuker serta empat rumah urut telah diserbu di mana 10 lelaki berusia antara 20 hingga 30 tahun ditahan kerana positif dadah dan dua lelaki Islam masing-masing berusia 30 dan 35 tahun ditahan oleh JHEAINS kerana meminum arak.

"Selain itu, MPN mengeluarkan satu kompaun terhadap sebuah rumah urut kerana pekerjanya tidak memakai seragam ketika bekerja, sekali gus melanggar syarat lesen mengikut Undang-Undang Kecil Rumah Urut.

"Tindakan penguatkuasaan akan dilakukan dari semasa ke semasa bagi  memastikan semua premis yang diberi lesen mematuhi peraturan ditetapkan, sekali gus mengelakkan aktiviti  menyalahi undang-undang,"katanya.