SERDANG - "Dia seorang bapa penyayang tetapi pengaruh dadah menyebabkannya tergamak membunuh anak sendiri," kata anggota keluarga kanak-kanak yang ditetak mati oleh bapanya sendiri di Flat Puchong Permai, Subang Jaya, semalam,

Sepupu kepada bapa kanak-kanak itu, Zaidi Said, 46, berkata beliau masih sukar mempercayai kejadian yang menimpa keluarganya itu dan beliau tidak menyangka sepupunya boleh bertindak sekejam itu terhadap anak sendiri kerana dia sayangkan anaknya itu, kata Zaidi ketika ditemui Bernama hari ini

"Dia seorang yang baik dan sebelum ini ibu saudaranya ada memberi cadangan untuk menjaga anaknya namun dia menolak atas alasan masih mampu menjaga anaknya," kata beliau.

Dalam kejadian pada kira-kira pukul 4.40 petang itu, bapa berusia 35 tahun itu dikatakan telah menetak tiga kali kepala dan pergelangan tangan kanan anaknya berusia lima tahun, yang sedang tidur.

Lelaki itu ditahan polis di flat yang sama dan siasatan mendapati dia positif dadah jenis syabu (Methamphetamine) selain dilaporkan ketagih air ketum dan mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.

[ ARTIKEL BERKAITAN: Bapa tetak anak sampai mati ]

Bagaimanapun, usaha Bernama untuk mendekati ibu mangsa , 24, gagal kerana masih bersedih dan belum bersedia untuk ditemu bual.

Ibu mangsa bekerja sebagai jurujual di sebuah pusat belah belah di Puchong.

Dalam pada itu Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari berkata proses bedah siasat kanak-kanak itu di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Serdang selesai kira-kira jam 1.30 petang ini dan jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Kroh, Karak, Pahang petang ini.

Beliau juga berkata lelaki itu akan direman selama tujuh hari. – Bernama