JOHOR BAHRU - Sindiket pinjaman tidak wujud dipercayai mengakibatkan kerugian bernilai RM383,201.50 berjaya ditumpaskan oleh polis Johor menerusi Ops Seagull 4 di Muar pada Jun lalu.  

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, polis turut menahan seramai 33 individu disyaki bertanggungjawab mengendalikan sindiket berkenaan.

"Kejayaan itu hasil kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Johor bagi membanteras sindiket terbabit di negeri ini.

"Hasil tangkapan itu turut membantu menyelesaikan sekurang-kurangnya 30 kes penipuan pinjaman tidak wujud," katanya pada Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK)  Johor, di sini, semalam.

Mohd Khalil berkata, pihaknya melihat kegiatan sindiket seperti ini adalah sesuatu yang membimbangkan selain berharap anggotanya terutama bakal pesara supaya tidak melayan panggilan sindiket ini.

"Saya mengingatkan kepada anggota yang bakal pencen serta orang ramai supaya tidak terjebak dengan kata-kata manis pihak tertentu  yang menawarkan pelbagai skim.

"Bermula dengan kata-kata manis, sindiket ini akan memancing mangsanya sebelum pemindahan wang dilakukan ke akaun sindiket tanpa sedar mengakibatkan wang dalam akaun hangus," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Khalil berkata, kadar indeks jenayah yang berlaku dalam tempoh Januari hingga Ogos di negeri ini turut mencatatkan penurunan berbanding tahun sebelumnya

Katanya, polis Johor merekodkan 6,884 kes, namun berlaku penurunan indeks sebanyak 658 kes bersamaan -8.72 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.