AMPANG - Kegiatan sindiket perjudian online yang mengaut untung melebihi RM25 juta dalam tempoh dua bulan dilumpuhkan pihak berkuasa.

Pembongkaran itu dijalankan sepasukan polis Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Kontinjen Selangor yang diketuai Pegawai Turusnya, Deputi Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin di sebuah premis di Jalan Pandan Prima 2, di sini, petang tadi.

Amat mengejutkan, premis yang berselindung di sebalik nama syarikat ini beroperasi tanpa kawalan kamera litar tertutup (CCTV).

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, operasi kira-kira jam 4 petang turut disertai sepasukan polis dari bahagian forensik Bukit Aman.

"Seramai 13 individu berusia lingkungan 20 hingga 40-an termasuk 11 wanita telah ditahan.

"Polis telah rampas 26 keping kad ATM, tiga komputer riba, 17 set komputer, 34 buah telefon bimbit, dua buku cek dan beberapa peralatan komputer," katanya kepada pemberita di lokasi serbuan.

Fadzil berkata, premis ini dikesan berfungsi sebagai pusat operasi perjudian online yang memiliki kakitangan iaitu pengurus serta operator.

Katanya, sindiket ini dikesan mengiklankan beberapa laman web kepada pelanggan dengan menghantar iklan tawaran permainan judi online menerusi media sosial seperti Facebook, Wechat, WhatsApp dan pesanan khidmat ringkas (SMS).

"Mana-mana yang bersetuju untuk bermain dengan pertaruhan akan berkomunikasi semula melalui teks. Bila setuju, pelanggan diberi satu akaun dan kata kunci tertentu sebagai syarat bagi mengakses permainan itu.

"Pelanggan turut akan diberi nombor akaun untuk meletak sejumlah wang pertaruhan," katanya.

Tambahnya, bagi menyukarkan kegiatan ini dikesan pihak berkuasa, sindiket menggunakan Virtual Private Network (VPN) yang membolehkan laman web ini diakses.

"Pusat ini mempunyai pertaruhan besar dan siasatan mendapati pada bulan Ogos sahaja, sindiket ini mengaut pulangan RM10.95 juta, manakala bulan berikutnya RM15.1 juta," katanya.

Jelasnya, polis percaya pelanggan bagi aktiviti perjudian ini terdiri daripada seluruh negara berikutan pulangan yang lumayan.

"Siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Akta Rumah Judi Terbuka," katanya.