SUBANG JAYA - Hasrat sindiket judi atas talian terus beroperasi menggunakan taktik baharu khidmat tapisan ‘jaga air’ terbongkar apabila sebuah restoran 24 jam di Jalan Prima 5/1 di Taman Puchong Prima diserbu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari berkata, sindiket beroperasi menggunakan telefon bimbit kepunyaan pelanggan bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Menurutnya, kaki judi perlu berjumpa geng sindiket yang berlegar-legar di sekitar restoran untuk ‘ditapis’ identiti terlebih dahulu.

“Mereka kemudian memuat turun aplikasi disediakan sindiket menggunakan telefon bimbit kepunyaan sendiri.

“Kaki judi terbabit kemudian perlu berjumpa penjaga premis yang bertindak sebagai juruwang untuk tambah nilai dan mendapatkan kata laluan sebelum boleh terus mempertaruhkan wang masing-masing,” katanya.

Beliau berkata, dalam serbuan dibuat hasil pemantauan serta risikan itu, tiga individu termasuk dua wanita warga Indonesia bertindak sebagai juruwang ditahan.

Katanya, beberapa pelanggan berusia lingkungan 60-an turut ditahan untuk diambil keterangan sebelum dibebaskan.

“Sejumlah wang tunai, dua buah telefon bimbit milik pelanggan dan yang dijadikan kawalan utama serta buku catitan dirampas.

“Polis tidak berkompromi dengan aktiviti perjudian atas talian dan akan terus memantau serta membanteras aktiviti ini dari semasa ke semasa,” katanya.