SERI ISKANDAR - Satu sindiket pecah rumah yang mensasarkan komputer riba pelajar universiti berjaya ditumpaskan pihak polis selepas dua lelaki termasuk dalang utama berjaya ditangkap, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superitendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, kedua-dua suspek berusia lelaki warga tempatan berusia 27 dan warganegara Pakistan berusia 51 tahun berkenaan ditahan pihak polis di Klang, Selangor serta Kuala Lumpur .

"Mereka ditahan selepas dipercayai terbabit dalam tiga insiden pecah rumah sekitar Seri Iskandar pada tarikh 19 dan 21 September serta 17 Oktober yang melibatkan kecurian 21 buah komputer riba milik pelajar universiti berhampiran dengan nilai kerugiaan dianggarkan RM34,000.

"Siasatan lanjut mendapati suspek berusia 27 tahun mengaku memasuki dua buah rumah tersebut bersama dua lagi rakannya yang bebas dan sedang diburu pihak polis ketika semua mangsa menunaikan solat Jumaat dan sebuah lagi rumah pada waktu pagi," katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perk Tengah, di sini, hari ini.

Menurut Mohamad Zainal, pihaknya berjaya merampas empat buah komputer riba, tiga buah telefon bimbit, buku resit pembayaran, smart tag serta sebuah kereta dipercayai digunakan untuk melakukan jenayah pecah rumah.

"Rakaman percakapan suspek berusia 27 tahun juga memaklumkan bahawa komputer riba yang dicurinya itu akan dijual kepada suspek berusia 51 tahun dengan harga RM750 hingga RM800 sebuah mengikut jenama.

"Suspek juga turut mendedahkan bahawa mereka bukan sahaja melakukan jenayah pecah rumah pelajar universiti di Seri Iskandar, Perak malah juga di Selangor, Kedah dan Seberang Perai, Pulau Pinang," katanya.

Mohamad Zainal berkata, pihak polis juga sedang giat memburu tiga lagi suspek di mana dua daripadanya adalah rakan kepada suspek berusia 27 tahun manakala seorang lagi merupakan pembeli komputer riba yang dicuri mereka.

"Ketiga-tiga suspek yang diburu pihak polis merupakan warga tempatan berusia sekitar 20an dan pihak polis memohon kerjasama orang ramai sekiranya mempunyai maklumat mengenai suspek yang diburu," katanya.