MIRI - Polis menahan sepasang kekasih serta merampas syabu seberat 97.60 gram bernilai RM10,000 dalam satu serbuan di sebuah rumah di Jalan Dato Permaisuri Permyjaya semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sarawak Supt Sahar Abdul Latif berkata, pembantu kedai makan berusia 36 tahun dan teman wanitanya, 27 yang merupakan juruwang kedai makan diberkas dalam operasi 12.30 tengah hari hasil maklumat awam dan risikan polis.

“Hasil pemeriksaan badan ke atas kedua-dua suspek tidak menemukan barangan yang menyalahi undang-undang namun berpandukan kunci kereta, polis membuat pemeriksaan ke atas kereta jenis Volkswagen Polo GTi dan menemukan dadah tersebut di dalam but kereta yang diparkir di garaj rumah,” katanya dalam kenyataan, di sini malam ini.

Beliau berkata, polis turut merampas cincin emas, rantai emas, loket emas dan rantai tangan emas yang keseluruhannya dianggar bernilai RM6,920 serta wang tunai berjumlah RM5,629 daripada suspek.

Siasatan lanjut mendapati suspek lelaki pernah dipenjarakan selama empat tahun manakala wanita berkenaan tiada rekod jenayah lampau, katanya.

Beliau berkata, suspek dipercayai menjalankan kegiatan pengedaran dadah sejak akhir tahun lepas di kawasan perumahan berkenaan namun hanya menjualnya kepada pembeli yang dikenali.

Kedua-duanya direman selama enam hari sehingga Khamis depan. - Bernama