KUANTAN - Bekas Pembantu Tadbir Pejabat Belia dan Sukan daerah Bera ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Temerloh kerana disyaki pecah amanah.

Suspek berusia 34 tahun yang kini bertugas di pejabat Belia dan Sukan Cameron Highlands ditahan di pejabatnya hari ini.

Pengarah SPRM Pahang, Mohamad Fauzi Husin berkata, suspek ditahan untuk siasatan berhubung penyelewengan  wang hasil kutipan sewa Dewan Kompleks Rakan Muda Bera ketika bertugas di daerah itu.

Menurutnya, suspek didakwa melakukan kesalahan itu antara Februari dan Mac 2017 melibatkan bayaran RM2,250 diterima daripada pemilik sebuah syarikat yang menyewa dewan tersebut untuk expo perabot.

“Penahanan suspek susulan operasi sitaan yang dijalankan SPRM Temerloh sejak beberapa bulan lalu. Pada awal siasatan kita syak dia menyalahgunakan jawatannya untuk menerima rasuah daripada syarikat berkenaan.

“Bagaimanapun, siasatan lanjut, suspek disyaki pecah amanah terhadap wang tersebut,” katanya.

Mohamad Fauzi berkata, suspek ditahan mengikut Akta SPRM 2009 dan dijangka dituduh di mahkamah dalam masa terdekat.