KUCHING – Polis menahan tiga individu di Pekan Lubuk Antu, Ahad lalu kerana disyaki terlibat dalam kes samun kereta milik seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) di Jalan Tun Razak di sini, Rabu lalu.

Ketua Polis Kuching, Asisten Komisioner Ng Ah Lek berkata penahanan dua lelaki dan seorang wanita berumur lingkungan 20 hingga 40 tahun itu dilakukan susulan laporan polis dibuat berhubung kes samun itu.

Turut dirampas sebuah kereta dan dua bilah pisau yang disyaki digunakan oleh suspek ketika menyamun, katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

“Dalam kejadian awal pagi itu, mangsa berusia 29 tahun bersama seorang rakan yang juga OKU sedang dalam perjalanan menghala ke bandar sebelum ditahan oleh suspek dari arah yang bertentangan.

“Suspek kemudian  keluar dari kereta lalu memukul rakan mangsa yang duduk di tempat duduk penumpang di bahagian depan.

"Beberapa minit kemudian sebuah lagi kereta muncul, seorang daripada suspek bertindak menumbuk mangsa sebelum merampas kunci kenderaannya untuk dilarikan,” katanya.

Ng berkata kereta mangsa berjaya ditemukan semula di tepi Jalan Datuk Mohammad Musa, Kota Samarahan. - Bernama