BATU PAHAT - Seorang lelaki yang cuba membawa lari seutas jam tangan berjenama mewah, bernilai RM35,000 gagal berbuat demikian apabila dia dicekup pemilik jam terbabit.

Suspek berusia 41 tahun itu dicekup selepas mangsa berjaya mengejarnya dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam di Yong Peng, di sini, kelmarin.

Pemangku Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan KS Mender Singh berkata, berdasarkan laporan, dua suspek yang menetap di Kuala Lumpur itu dikatakan sedang berunding dengan mangsa yang juga seorang penggaya rambut berusia 30 tahun.

“Menurut mangsa, dua suspek pernah datang ke kediamannya di Taman Kota, Yong Peng, selepas dia mengiklankan jam tangan berjenama Rolex bernilai RM35,000 secara dalam talian.

“Dakwa mangsa, pertama kali datang, mereka hanya melihat dan membelek jam tersebut. Bagaimanapun selang beberapa hari kemudian, suspek memaklumkan kepada mangsa untuk bertemu sekali lagi di rumah dan nekad membeli jam berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat, di sini, sebentar tadi.

Mender Singh berkata, ketika didatangi kali kedua, suspek yang berpura-pura membelek jam tangan itu terus keluar dengan membawa bersama barangan itu.

“Menyedari kejadian itu, mangsa terus mengejar kedua-dua suspek. Seorang daripadanya berjaya dicekup manakala seorang lagi dapat melarikan diri dengan kereta Toyota jenis Camry.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan,” katanya.