MELAKA TENGAH - Lebih RM1.2 juta barangan tidak berkastam berjaya disita oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Melaka dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Pengarahnya, A Tuang berkata, kesemua barangan itu membabitkan nilai cukai melebih RM5.1 juta yang direkodkan antara Januari hingga 30 Jun lalu.

Menurutnya, dalam tempoh itu juga seramai 30 individu berusia antara 30 hingga 50 tahun ditahan menerusi serbuan dan tangkapan yang dilakukan dalam negeri ini dan luar Melaka dipercayai terlibat dalam kes berkaitan.

Katanya, barangan tidak berkastam yang dirampas membabitkan rokok sebanyak 36 kes, minuman keras (17), mercun dan bunga api (10) serta kereta (4).

“Jumlah kes yang direkodkan itu menunjukkan peningkatan 50 peratus untuk tempoh yang sama bagi tahun lalu.

“Identiti pemberi maklumat dirahsiakan dan sekiranya ada tangkapan mereka layak dipertimbangkan sagu hati,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, empat kenderaan tidak berkastam dianggarkan bernilai RM89,000 dan cukai RM143,000 turut disita termasuk sebuah BMW 2.4, Proton Persona, Volvo XC dan Honda Accord 2.0.

“Kesemua kes itu disiasat mengikut Seksyen 135(1) Akta Kastam 1967,” katanya.