JOHOR BAHRU - Rangkaian penyeludupan dadah antarabangsa ke negara jiran dilumpuhkan apabila 14 suspek ditahan di sekitar Johor, baru-baru ini.

Kesemua suspek termasuk seorang wanita berusia 34 tahun percayai dalang kegiatan itu ditahan menerusi enam serbuan berasingan di bandar raya ini, Batu Pahat, Simpang Renggam dan Mersing dari 12 hingga 14 Oktober lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, operasi turut membawa kepada penemuan kira-kira 22.25 kilogram pelbagai jenis dadah sintetik terdiri daripada syabu, heroin dan ketamin.

“Selain dadah itu, kita juga merampas sebanyak 110 biji pil disyaki ekstasi, yaba dan erimin 5. Dianggarkan kesemua dadah ini bernilai kira-kira RM1 juta disyaki untuk pasaran tempatan dan Indonesia.

Kenderaan mewah yang dirampas.

“Kami percaya sindiket ini diketuai seorang wanita yang turut ditahan di sebuah rumah di Bandar Baru Uda,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini, hari ini.

Mohmad berkata, selain wanita terbabit, dua lelaki yang ditahan juga adalah seorang ketua kongsi gelap dikenali sebagai 36 dan seorang pesalah yang melarikan diri daripada tahanan Penjara Bengkalis, Indonesia.

“Turut dirampas sembilan buah kereta termasuk jenis Jaguar, Toyota Vellfire, BMW, Ford Ranger, sebuah motosikal Yamaha R1. Kita juga menemui wang tunai RM138,000 dan pelbagai barangan kemas.

“Kami percaya semua yang ditahan mempunyai kaitan, daripada segi logistik dan bekalan dadah dan siasatan awal mendapati sindiket ini sudah aktif lama, tetapi ada ahlinya yang baru ikut,” katanya.

Kesemua suspek kini ditahan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah sehingga 18 Oktober bagi membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.