TELUK INTAN - Polis Daerah Hilir Perak berjaya merampas dadah bernilai RM30,151 dalam Ops Sarang yang dijalankan di sekitar Langkap, Teluk Intan dan Bagan Datuk bermula 29 Ogos hingga semalam.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar berkata rampasan berkenaan melibatkan tiga jenis dadah dengan kerjasama daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak dan balai polis dalam daerah ini.

"Kita juga berjaya melakukan tangkapan melibatkan 28 lelaki dan dua perempuan warga tempatan serta warganegara asing berusia antara 20 hingga 57 tahun.

"Hasil tangkapan ini pihak polis berjaya merampas dadah jenis Heroin seberat 497.09 gram, Methamphetamine seberat 84.91 gram dan Cannabis seberat 15.20 gram dengan nilai rampasan dianggarkan RM30151," katanya kepada pemberita pada satu sidang media di IPD Hilir Perak, hari ini.

Menurut Mohd Marzukhi, rampasan dadah terbesar dalam ops berkenaan melibatkan seorang lelaki yang juga penganjur berusia 36 tahun sekitar Kunci Air Langkap yang ditahan ketika menunggang motosikal kira-kira jam 11.05 pagi 29 Ogos lalu.

"Hasil pemeriksaan yang dijalankan kita mendapati motosikal tersebut merupakan motor curi bersabit dengan Teluk Intan Report sebelum berjaya menemui 10 peket plastik lut sinar dipercayai dadah jenis heroin seberat 151 gram.

"Kita juga berjaya menemui 12 peket plastik lut sinar dipercayai dadah jenis methamphetamine seberat 69 gram bersama satu senjata berbahaya iaitu buku lima," katanya.

Tambahnya, suspek yang juga warga tempatan berasal dari negeri bersebelahan dan hasil ujian air kencing mendapati dia positif dadah jenis morfin dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.