SHAH ALAM - Enam lelaki termasuk seorang warga Bangladesh ditahan selepas polis menyerbu dua rumah kedai yang dikenalpasti menjalankan kegiatan judi online.

Kedua-dua premis terletak di Jalan Perepat 27/95, Seksyen 27, di sini diserbu semalam selepas polis membuat risikan hasil maklumat daripada orang awam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam,  Asisten Komisioner Baharuddin Mat Taib berkata, serbuan di premis pertama dibuat pada jam 10.15 malam dan pemeriksaan mendapati memang wujud kegiatan judi  secara dalam talian di situ.

Susulan itu katanya, seorang lelaki warga Bangladesh ditahan dan polis turut merampas satu telefon bimbit serta tunai berjumlah RM200.

Beliau berkata, pihaknya kemudian menyerbu premis kedua kira-kira 15 minit kemudian dan menahan lima lelaki tempatan disyaki terlibat dalam kegiatan sama.

"Kita rampas lima telefon jenis Galaxy Tab Samsung, modem jenama TM (1) dan tunai RM 370 yang dipercayai digunakan untuk tujuan perjudian.

"Siasatan menunjukkan aktiviti judi online kembali aktif di kedua-dua premis itu sejak dua minggu lalu," katanya.

Menurutnya, suspek juga dikesan menukar modus operandi dengan menjalankan judi online menggunakan tab berbanding komputer bagi mengelak kegiatan mereka terbongkar.

Baharuddin berkata, pihaknya memandang serius kegiatan judi online di daerah ini dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana sindiket terlibat.

"Kita tubuhkan pasukan khas terdiri daripada pegawai polis pelbagai bahagian khusus untuk membendung kegiatan ini, "katanya.