AMPANG - Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor membongkar kegiatan kegiatan perjudian online di Kuala Ampang, di sini, malam tadi.

Serbuan bermula jam 10.30 malam dijalankan hasil maklumat dan risikan itu  turut melibatkan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Kontinjen Selangor serta  D7  Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya.

Pegawai Turus D7 Selangor, Deputi Superintendan Norhizam Bahaman berkata, tiga serbuan  dilakukan dan seramai 26 individu berusia lingkungan 25 hingga 65 tahun ditahan.

Menurutnya, semakan mendapati 17 daripada tangkapan adalah warga asing membabitkan warga Bangladesh dan Indonesia.

"Siasatan awal mendapati premis terbabit menjalankan aktiviti perjudian online selain 'bookie' lumba kuda.

"Ini susulan rampasan pelbagai barang seperti mesin slot, cip, kalkulator, kad point, telefon bimbit, keratan akhbar dan wang tunai," katanya.

Beliau berkata, seramai 29 individu turut diambil keterangan bagi membantu siasatan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953.