JERTIH - Sekumpulan lima lelaki bukan sahaja ponteng puasa tetapi menjadikan satu kawasan di tepi Sungai Besut dekat Kampung Tok Raja di sini sebagai port untuk mereka melepaskan ketagihan dadah.

Mereka adalah sebahagian daripada 21 lelaki  berusia 18 hingga 53 tahun yang diberkas dalam Ops Tapis Bersepadu kali ke 5 tahun ini oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut selama dua hari berakhir malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, lima suspek yang ditahan di port tepi sungai termasuk lelaki berusia 53 tahun sedang berkumpul leka mengambil dadah jenis pil kuda.

Menurutnya, pasukan serbuan terdiri dua pegawai  dan 12 anggota termasuk Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik daerah telah mengenal pasti sarang dadah itu dan membuat serbuan pada siang hari.

“Mereka menjadikan lokasi itu sebagai tempat untuk melepaskan gian pada bulan Ramadan  ini,” katanya.

Beliau berkata, selebihnya ditangkap di beberapa lokasi di bawah pentadbiran Balai Polis Jertih membabitkan 35 pemeriksaan.

Menurutnya, sepanjang operasi tersebut, polis turut merampas sebanyak enam biji dipercayai dadah jenis  pil kuda dan 0.15 gram  heroin dengan nilai keseluruhan RM90.00.

“Kesemua suspek ditahan reman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat menurut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 (tiga tangkapan) , Seksyen 15(1)(a) akta sama (12 tangkapan) dan Seksyen 3(1) Akta Penagihan Dadah seramai enam orang,” katanya.