KLANG - Polis menumpaskan sindiket pemprosesan arak tiruan menerusi satu serbuan yang dilakukan di sebuah rumah teres di Kampung Telok Gong, Pelabuhan Klang di sini, semalam.

Difahamkan, serbuan yang bermula jam 8.30 malam itu turut berjaya membawa kepada penahanan seorang lelaki warga Myanmar berusia 37 tahun.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, pihaknya juga merampas sebanyak 1,704 tin dan botol pelbagai jenis minuman keras menerusi serbuan tersebut dan anggaran nilai rampasan adalah berjumlah RM30,000.

“Hasil pemeriksaan di rumah itu, kita jumpa arak tiruan pelbagai jenama. Kita juga merampas 3,633 botol kosong, sekotak pelekat arak dan dua buah tong masing-masing berisi minuman keras dan karamel.

“Menerusi siasatan awal, suspek mengaku menjalankan urusan memproses arak tiruan untuk dipasarkan kepada pekerja kilang warga Myanmar,” katanya.

Beliau berkata, suspek juga dipercayai bekerja dengan seorang lelaki lain dan polis kini sedang giat mengesan pihak terlibat.

“Suspek ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan untuk disiasat di bawah Seksyen 135 Akta Kastam,” katanya.