AMPANG – Polis menangkap seorang lelaki dipercayai terlibat dalam kes menyerang dan mencederakan jirannya di Persiaran Ampang Saujana, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Hamzah Alias berkata, lelaki berusia 41 tahun itu ditahan selepas polis menerima laporan daripada seorang suri rumah memaklumkan suaminya ditemui cedera parah.

“Ketika kejadian jam 6.25 petang wanita itu terdengar bunyi bising di kawasan luar rumah. Dia kemudian membuka pintu rumah dan mendapati suami dalam keadaan badannya berdarah.

“Wanita berkenaan menemui kesan luka di atas kepala dan tangan kanan suaminya. Dia mendakwa seorang lelaki yang tinggal berhadapan rumah dipercayai menyerang suaminya menggunakan pisau,” katanya.

Menurutnya, lelaki itu kemudian ditahan dan polis merampas sebilah parang dan dua bilah pisah untuk siasatan lanjut kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.