KUALA LUMPUR - Polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes tembak di Tropicana Indah, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, suspek berumur 35 tahun itu ditahan pada 7 malam, beberapa jam selepas kejadian itu, di sekitar kawasan berkenaan.

Beliau berkata lelaki terbabit direman empat hari bermula hari ini sehingga Jumaat.

“Mangsa yang ditembak di bahagian perut ketika ini masih tidak sedarkan diri,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, seorang lelaki cedera ditembak di hadapan sebuah kedai serbaneka 24 jam di persiaran Tropicana, Kota Damansara, di sini.

Kejadian itu berlaku kira-kira 4.50 petang semasa mangsa baru sahaja selesai membeli rokok di kedai serbaneka itu sebelum secara tiba-tiba ditembak. – Bernama