KUALA LUMPUR - Sebanyak 22,300 individu ditahan dalam 12,449 serbuan melibatkan pelbagai kes perjudian di seluruh negara sejak 1 Januari hingga 5 September tahun ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata jumlah tangkapan itu adalah berkurangan berbanding tempoh sama pada 2017 iaitu 12,628 individu menerusi 24,338 operasi.

Katanya bagaimanapun kadar rampasan tunai mencatatkan peningkatan iaitu RM4,676,359 berbanding RM3,735,667 pada 2017.

Beliau berkata tumpuan kaki judi beralih kepada aktiviti judi loteri awam tanpa lesen yang mencatatkan rampasan wang tunai sehingga RM1,471,359 menerusi 7,947 serbuan premis, dengan 8,375 tangkapan individu.

“ Sebanyak 3,297 lagi serbuan melibatkan perjudian mesin dengan 9,764 tangkapan selain rampasan 25,267 buah mesin perjudian, manakala 1,205 serbuan melibatkan lain-lain judi dengan 4,161 tangkapan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Mohamad Fuzi, kajian mendapati enam kontinjen mencatat kadar serbuan tertinggi bagi keseluruhan jenis perjudian iaitu Johor, Selangor, Sarawak, Negeri Sembilan, Kedah dan Pulau Pinang.

Katanya bagi menangani isu perjudian dengan lebih holistik, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mewujudkan bilik gerakan serta talian “Hotline”secara khusus bermula 20 Julai 2018 bertujuan memudahkan orang ramai menyalurkan maklumat kepada pihak polis.

“Inisiatif ini diterima secara positif oleh masyarakat dan sehingga kini 716 maklumat telah diperolehi. Ekoran itu, 414 serbuan telah dilaksanakan, 141 maklumat sedang diproses untuk mendapat bukti lanjut manakala 161 maklumat disahkan sebagai tidak berasas,” katanya.

Orang ramai disarankan untuk terus menyalurkan maklumat kepada pihak PDRM dalam usaha bersama membasmi aktiviti tidak bermoral ini.

Katanya bagi mengekang aktiviti perjudian secara menyeluruh serta berkesan, pihak PDRM telah menggunakan pendekatan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (Poca), bertujuan menangkap penganjur perjudian yang berselindung di sebalik tabir.

“Sepanjang tempoh penguatkuasaan Poca pada 2 April 2014 sehingga 5 September 2018, PDRM telah berjaya menangkap 177 subjek yang bertindak sebagai penganjur perjudian di seluruh negara.

“Pihak PDRM tidak menolak kemungkinan wujudnya aktiviti perjudian di seluruh negara, namun dengan jalinan kerjasama daripada semua pihak, aktiviti seperti ini boleh dibanteras sehingga ke akar umbi,” katanya.

Mohamad Fuzi berkata kepimpinan tertinggi PDRM sentiasa memantau prestasi dan integriti dalam kalangan pegawai dan anggota serta tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pegawai termasuk ketua polis negeri dan ketua polis daerah yang didapati gagal melaksanakan tanggungjawab secara berkesan. - Bernama