SEREMBAN - Polis menahan 10 orang dan merampas 58 unit komputer dalam serbuan di empat buah premis perjudian haram di sekitar ibu negeri ini malam semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri ACP Hamdan Majid berkata kesemua lelaki yang ditahan berusia awal 20-an merupakan pelanggan dan penjaga premis terbabit termasuk seorang warga asing.
"Kita menjalankan dua serbuan ke dua premis di Kemayan Square, di sini dan merampas 29 unit komputer yang dipercayai digunakan untuk tujuan judi siber ini dan menahan tiga pelanggan dan tiga penjaga premis-premis terbabit.
"Sementara dua lagi serbuan dilakukan di Sikamat, di mana kita merampas 29 biji komputer juga dan menahan dua pelanggan dan tiga penjaga premis terbabit," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Katanya, serbuan yang bermula 9.30 malam tadi dan berakhir kira-kira 1 pagi dilakukan hasil maklumat orang awam.
Siasatan awal mendapati kesemua premis terbabit dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV) yang dipercayai digunakan bagi mengawal aliran keluar masuk pelanggan selain memantau kehadiran pihak berkuasa, katanya. - Bernama
Polis serbu pusat judi, 10 orang ditahan
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini.
Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.




