SHAH ALAM - Kehilangan bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman terus menjadi tanda tanya dan polis Sabah hari ini mengesahkan pemimpin itu memang  tidak berada di negeri berkenaan.

Perkara itu disahkan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din.

“Apa yang kita tahu dia (Musa) sudah tiada di Sabah,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Bagaimanapun, lokasi terkini Musa masih menjadi teka-teki selepas kali terakhir mempengerusikan mesyuarat Kabinet kerajaan negeri itu di Pejabat Pentadbiran Negeri Sabah di Likas pada 12 Mei lalu.

Mengulas lanjut, Ramli berkata, pihaknya turut meminta Pengerusi BN Sabah itu tampil membantu siasatan berhubung kes ugutan jenayah terhadap Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.

“Kita minta dia (Musa) untuk tampil beri kerjasama. Kita mahu merakam keterangannya untuk pastikan apa cerita sebenar yang berlaku,” katanya.

Terdahulu, Polis Sabah mengesahkan sembilan saksi termasuk Tun Juhar telah diambil keterangan bagi menyelesaikan kes mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Adun Sungai Sibuga berusia 67 tahun itu dikatakan gagal dikesan di sekitar bandar raya Kota Kinabalu.

Namun begitu, Jabatan Imigresen Malaysia memberitahu, setakat ini tiada rekod Musa ke luar negara.

Rabu lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan serbuan di kediaman Musa di Jalan Bukit Temasu, Luyang.

[ARTIKEL BERKAITAN: SPRM serbu rumah Musa Aman]

[ARTIKEL BERKAITAN: Musa Aman 'lari' ke London?]

[ARTIKEL BERKAITAN: Serbuan SPRM ke rumah Musa Aman, tiada barang dirampas]