JOHOR BAHRU - Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 2 menahan tiga lelaki warga Indonesia selepas menemui sepucuk pistol ‘Airsoft  gun’ semasa pemeriksaan ke atas sebuah bot ‘barter trade’ yang dinaiki mereka di perairan Kuala Batu Pahat dekat sini, tiga hari lalu.

Dalam satu kenyataan di sini hari ini, Komander PPM Wilayah 2 Asisten Komisioner Paui Khiu Khon Chiang berkata bot berkenaan yang membawa muatan kayu bakau ditahan ketika dalam pelayaran ke Kuala Batu Pahat.

“Semasa diperiksa, PPM menemui sepucuk pistol yang disimpan di dalam sebuah beg sandang milik tekong bot.

Sehubungan itu, kesemua suspek berusia 27 hingga 57 tahun ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Akta Senjata 1960,” katanya menambah pihaknya masih menyiasat tujuan suspek membawa pistol berkenaan.- Bernama