SABAK BERNAM - Lima buruh warga Myanmar yang aktif menjalankan kegiatan mengedar dadah secara kecil-kecilan sekitar Sungai Besar, diberkas polis, dalam serbuan di sebuah rumah di Bagan Sungai Besar, di sini, awal pagi tadi.

Serbuan Ops Tapis kira-kira jam 3.50 pagi itu diketuai Inspektor Norizan Ramli bersama anggotanya menahan lima suspek berusia lingkungan 23 hingga 34 tahun.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Nor Azmi Isa berkata, sejurus memasuki rumah dihuni mereka, polis berjaya menahan kelima suspek yang dalam keadaan mencurigakan.

"Hasil pemeriksaan polis di sebuah bilik menemui bungkusan beg plastik yang mengandungi 12 peket plastik pelbagai saiz  mengandungi bahan disyaki heroin," katanya pada sidang media di Bilik Mesyuarat Ibu Pejabat Polis (IPD) Sabak Bernam, di sini, sebentar tadi.

Nor Azmi berkata, dalam serbuan itu, polis merampas heroin seberat 37.93 gram dengan nilai keseluruhan berjumlah RM1, 000.

"Semakan polis mendapati, kelima suspek yang ditahan tidak memiliki rekod lampau.

"Kesemua mereka juga tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan sah," katanya.

Beliau memberitahu, suspek yang dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam bagi menjalani Ujian Air Kencing (Urin) didapati positif dadah jenis opiat.

"Kesemua mereka direman selama dua minggu bermula hari ini dan berakhir pada 18 September ini.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.