LAHAD DATU -  Polis menahan lima lelaki pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Filipina serta dua warga tempatan disyaki terlibat dalam jenayah pemerdagangan manusia, dalam satu sekatan jalan raya di Batu 5, Jalan Segama, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Lahad Datu, Senior Asisten Komisioner Hamzah Ahmad berkata kesemua mereka yang berumur antara 27 hingga 57 tahun itu ditahan dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda kira-kira 11.30 malam.

"Tujuh lelaki berada dalam kenderaan itu termasuk pemandu tempatan berusia antara 27 dan 28 tahun.

“Manakala lima lagi tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah dan pemeriksaan itu juga menemukan beberapa buah beg berisi pakaian di ruang penyimpanan belakang kereta," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Hamzah berkata, siasatan turut mendapati kesemua mereka dari Ladang Kalabakan dan mahu ke Ladang Serimau, Kalabakan untuk bekerja di sana.

Kesemua tangkapan dan barang rampasan dibawa ke IPD Lahad Datu untuk siasatan lanjut dan disiasat mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007. - Bernama