KUALA LUMPUR - Polis Kuala Lumpur menggesa orang ramai dan menyeru mangsa yang terlibat dalam kes liwat dan cabul untuk tampil dan melaporkan kepada polis.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, ia susulan laporan yang diterima pihaknya berhubung kes liwat yang melibatkan mangsa-mangsa pelajar sebuah pusat tahfiz yang terletak di Kepong, Kuala Lumpur.

"Seramai sembilan pelajar lelaki berusia 11 hingga 16 tahun telah mengadu menjadi mangsa pengetuanya.

"Pelajar terbabit mendakwa telah dicabul dan diliwat olej suspek berusia 30 tahun," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, kes telah disiasat oleh polis dan pertuduhan telah dibuat di Mahkamah Seksyen Putrajaya pada Rabu lalu melibatkan 11 pertuduhan di bawah

Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Justeru, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kes-kes sebegini diminta supaya tidak was-was dan bertindak melaporkan kepada polis.

"Ini agar tindakan sewajarnya dapat diambil dan kerjasama orang ramai amatlah diperlukan dalam memastikan kesejahteraan dan keselamatan rakyat dan negara ini terus terjamin," katanya.