KUALA LUMPUR - Polis sedang mengesan sekumpulan lelaki yang dilaporkan aktif melakukan kegiatan samun kenderaan di sekitar kawasan Sungai Long dan Bandar Mahkota Cheras di Selangor.

Ketua Polis Daerah Kajang asisten Komisioner, Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff berkata, polis telah menerima beberapa laporan berhubung kumpulan itu yang dipercayai melarikan dan cuba melarikan kenderaan jenis Toyota Hilux di kedua-dua kawasan itu.

“Sejak akhir Februari lalu hingga semalam, satu kes samun melarikan Toyota Hilux dan empat kes cubaan melarikan Toyota Hilux telah direkodkan.

“Modus operandi kumpulan ini ialah menyerang mangsa yang memandu Toyota Hilux yang berhenti di kawasan pam minyak dan di kawasan tepi jalan dengan menggunakan senjata seperti parang dan pisau,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Risikan Operasi Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang, Asisten Superintendan Mohd Irwan di talian 017-3168097.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan dan Seksyen 393 Kanun Keseksaan kerana cuba melakukan samun.

Hari ini, beberapa gambar kereta dan empat lelaki yang dikatakan aktif menjalankan kegiatan samun dan dirakam di Palm Walk 3, Bandar Sungai Long, tular di laman sosial. - Bernama