BUTTERWORTH - Lokasinya jauh terperuk dalam kampung, namun sering kali dikunjungi oleh beberapa individu dipercayai kaki ketum.

Namun kegiatan itu akhirnya terbongkar apabila polis menjalankan serbuan dan menemui tong oren berisi beberapa bungkusan air ketum dalam sebuah pondok di Kampung Permatang Rambai, Penaga semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata dalam serbuan tersebut, polis berjaya menahan seorang remaja berumur 17 tahun di pondok tersebut.

"Hasil pemeriksaan terdapat 69 bungkusan plastik lut sinar dipercayai berisi air ketum.

"Suspek bersama barangan kes yang dirampas kemudiannya dibawa ke IPD Seberang Perai Utara untuk tindakan lanjut," katanya.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati air ketum tersebut adalah untuk dijual kepada pelanggan di kawasan Penaga.

"Nilai keseluruhan barang yang dirampas dianggarkan bernilai RM400.

"Hasil ujian saringan air kencing dijalankan terhadap remaja berkenaan mendapati suspek negatif dan bebas dari sebarang dadah," katanya.

Menurutnya, suspek direman empat hari untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

"Polis akan sentiasa mengambil tindakan serta menjalankan operasi narkotik yang berterusan di daerah ini," katanya.