PORT DICKSON -  Seorang penuntut wanita Kolej Vokasional Port Dickson (KVPD) di sini ditemukan mati dengan kesan jerut pada leher dipercayai dibunuh, dekat kawasan semak di Taman PD Permata di sini, kira-kira 10.30 malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson, Deputi Superintendan Mohd Faisal Mohd Noor berkata, sepasukan anggota forensik polis segera ke lokasi sebaik menerima panggilan mengenai mangsa, Nuralya Damia Mohd Hairi, 19, berasal dari Klang, Selangor.

"Buat masa ini, pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata pemeriksaan polis menemui kesan jerut pada leher mangsa dan penuntut Diploma Sistem Komputer dan Rangkaian tahun akhir itu dipercayai dibunuh.

Susulan itu, polis menahan seorang pelajar lelaki dari kolej berkenaan yang dipercayai bekas teman lelaki mangsa.

"Siasatan awal mendapati mangsa dibunuh di dalam kereta suspek," katanya.

Beliau berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Port Dickson untuk dibedah siasat.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sementara itu, rakan sekelas mangsa, Syarifah Noor Shahira Sheikh Mohd Zain, 19, mangsa tidak pernah mengadu ada menerima sebarang ugutan jenayah sebelum ini.

Menurutnya, mangsa juga tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap yang ganjil sebelum ini kecuali bertukar menjadi sangat periang.

“Dia sangat ceria sebelum ini. Ketika kali terakhir saya menemuinya semasa kelas petang semalam, arwah sangat riang sehingga ditegur pensyarah kami yang turut hairan dengan kelakuannya itu.

“Arwah merupakan seorang yang baik,” katanya ketika ditemui Bernama di lokasi kejadian di Taman PD Permata, di sini.

Syarifah Noor Shahira berkata kesemua rakan sekelas mangsa terkejut dan sedih apabila dimaklumkan mengenai kematian Nuralya Damia yang juga merupakan penuntut tahun akhir jurusan Diploma Sistem Komputer dan Rangkaian kolej berkenaan.

“Kami segera ke tempat kejadian apabila menerima maklumat mengenai kejadian ini dan tidak menyangka ia boleh menimpa (Nuralya) Damia kerana setahu kami dia tidak mempunyai masalah dengan sesiapa,” katanya.

Menurut rakan serumah mangsa yang mahu dikenali sebagai Ain, 19,  beliau berkata sebelum kejadian mangsa ada memberitahunya ingin menemui seorang rakan lelaki yang juga penuntut kolej yang sama, kira-kira pukul 9 malam.

“Penuntut lelaki itu turut tinggal di taman yang sama dengan kami,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk Taman PD Permata yang mahu dikenali sebagai Aishah, 44, berkata mayat mangsa ditemukan seorang penduduk ketika ingin membuang sampah berdekatan kawasan semak berkenaan kira-kira 10.30 malam.

“Saya baru pulang dari solat tarawih dan dikejutkan dengan penemuan mayat pelajar itu...penduduk itu segera menghubungi pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya yang telah tinggal di kawasan itu sejak 20 tahun.- Bernama