IPOH - Cemburu menjadi motif sebenar seorang pemandu bas ditemui mati ditembak dalam kejadian di kawasan Ladang Sungai Rui, Ban Pasir, Jalan Gerik - Kupang, Gerik, 7 April lalu.

kejadian itu terbongkar susulan penahanan seorang penjawat awam bersama bekas isteri mangsa ditahan bersama seorang lagi lelaki sekitar Gerik tiga hari kemudian.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Yahya Abd Rahman berkata, suspek berusia 42 tahun dan bekas isteri mangsa berusia 38 tahun mengaku terlibat dalam kejadian pembunuhan tersebut.

Menurutnya, polis turut menemui sepucuk pistol Colts Convenent bersama 35 butir peluru yang disimpan di rumah ibunya di Kampung Jong, Gerik.

“Siasatan mendapati senjata api berkenaan diperoleh dari negara jiran. Ujian balistik akan dijalankan bagi mengesan kes-kes terlibat.

“Polis turut menemui dua telefon bimbit milik mangsa yang dibuang di bawah jambatan di Gerik. Motif kejadian adalah disebabkan cemburu berikutan mangsa telah menceraikan isterinya yang merupakan teman wanita suspek,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri di sini, hari ini.

Yahya berkata, seorang lagi suspek lelaki berusia 35 tahun turut ditahan untuk melengkapkan siasatan.

“Reman berakhir hari ini dan esok, reman akan disambung untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.