KUALA BESUT - Seorang peniaga sayur berdepan detik menakutkan apabila dia dilarikan dan cuba disamun sekumpulan lelaki dipercayai bersenjata menyerupai pistol di Kampung Alor Jejawi, di sini, pagi tadi.

Bagaimanapun, mangsa berusia 28 tahun itu berjaya meloloskan diri tanpa mengalami sebarang kecederaan dan kerugian.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, sebelum itu mangsa yang memandu kereta Perodua Myvi dalam perjalanan dari rumahnya di Kampung Alor Jejawi untuk membeli sayur di Pasar Borong Kampung Lampu dekat sini.

“Sebaik meninggalkan rumahnya ketika memandu kereta tiba-tiba, kereta mangsa dihalang sebuah kereta jenis Honda Jazz berwarna biru dinaiki empat lelaki kira-kira jam 9 pagi di tepi jalan kampungnya.

“Dua daripada mereka turun lalu menghampiri mangsa dan salah seorang daripada mereka mengacukan objek menyerupai sepucuk pistol ke rusuk kanan mangsa,” katanya.

Mohd Zamri berkata lagi, suspek mengarahkan mangsa masuk ke bahagian belakang kereta mereka sebelum membawa mangsa ke sebuah rumah di Kampung Lay Out Tok Saboh kira-kira 3km dari tempat kejadian.

“Suspek kemudian mengarahkan pula mangsa masuk ke dalam bilik dan mangsa dapati ada lima hingga enam orang lelaki lain di dalam rumah Mesra Rakyat tersebut.

“Suspek berjaya keluar dan melarikan diri mendapati suspek meninggalkan rumah itu,” katanya.

Mohd Zamri berkata lagi, mangsa yang berniaga di Kampung Air Tawar kemudiannya membuat laporan polis di Balai Polis Kuala Besut.

“Kereta mangsa ditemui semula di tepi jalan tidak jauh dari tempat kejadian di lokasi kejadian dia mula dilarikan.

“Polis sedang menjalankan siasatan lanjut dan usaha mengesan suspek sedang giat dilakukan manakala kes ini disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan kerana cubaan samun,” katanya.