SUNGAI PETANI - Empat individu ditahan bagi membantu siasatan kejadian merusuh di Pusat Pengundian PKR Cabang Merbok sehingga menyebabkan proses pemilihan tergendala.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, kesemua mereka ditahan termasuk seorang yang cedera dipercayai terlibat dalam kekecohan terbabit.

“Kita dimaklumkan kekecohan berlaku di beberapa pusat mengundi termasuk di pusat pengundian The Carnival tempat pengundian PKR Cabang Merbok kerana sistem e-voting pada pemilihan kali ini adalah kali pertama dilaksanakan.

“Polis merampas tiga batang kayu yang digunakan dalam pergaduhan dipercayai diambil di kawasan berhampiran pusat pengundian dan siasatan lanjut akan dijalankan,” katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Pemilihan PKR: Seorang cedera dipukul]

Katanya, seorang lelaki yang cedera dirawat sebagai pesakit luar dan kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh.