SUNGAI PETANI - Seramai 13 lelaki direman selama tiga hari bagi membantu siasatan berhubung pergaduhan yang berlaku semasa pemilihan PKR Cabang Merbok sehingga mengakibatkan seorang cedera, semalam.

Kesemua lelaki berusia 20 hingga 50 itu direman selepas Penolong Pendaftar Mahkamah Sesyen Balkhis Abdul Halim mengeluarkan perintah di Cawangan Mahkamah Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda, di sini.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, semalam empat lelaki ditahan kerana didapati terlibat dalam rusuhan ketika anggota PKR sedang melaksanakan tanggungjawab mengundi di The Carnival Sungai Petani.

[ARTIKEL BERKAITAN:  Pemilihan PKR: EMpat ditahan kerana merusuh]

“Namun, selepas diambil keterangan dan melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV), 10 lagi ditahan.

“Kesemua yang ditahan berjumlah 14 orang tetapi seorang dilepaskan dengan jaminan polis atas masalah kesihatan,” katanya.

Menurutnya kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh.