PUTRAJAYA - Aktiviti penyeludupan dan pemerdagangan orang yang dipercayai dijalankan sebuah syarikat di Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan terbongkar dengan tertangkapnya ahli lembaga pengarah syarikat berkenaan.

Tangkapan dibuat berasingan sejak semalam membabitkan dua ahli lembaga pengarah syarikat masing-masing berusia 51 tahun.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, serbuan pertama kira-kira jam 11.30 pagi di syarikat yang disyaki menggunakan maklumat palsu bagi memperoleh pas pekerja itu berjaya menahan seorang lelaki.

"Selain itu, turut diselamatkan adalah seramai 65 orang pekerja warga Bangladesh yang dipercayai tidak menerima sebarang gaji sejak tiga hingga lima bulan lalu.

"Malah, pemeriksaan di syarikat berkenaan turut merampas 377 pasport membabitkan pasport negara Nepal (1 pasport), Indonesia (15 pasport) dan Bangladesh (361 pasport) selain 61 jenis dokumen seperti kontrak antara syarikat, lesen perniagaan, baucer bayaran, rekod urusan dan lain-lain," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Imigresen, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Mustafar turut memaklumkan seorang wanita ditahan kira-kira jam 2.30 petang tadi di Putrajaya.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan bahawa syarikat yang telah beroperasi sejak tahun 2010 itu dipercayai mengeksploitasi pekerja asing tanpa membayar gaji, sebaliknya menawarkan pinjaman wang.

"Syarikat ini mendapatkan kuota pekerja asing dengan memalsukan dokumen. Kemudian syarikat lain akan membayar RM1,800 hingga RM2,000 untuk mendapatkan pekerja asing tersebut daripada mereka," katanya.

Tambahnya, pihaknya bagaimanapun masih memburu seorang lagi ahli lembaga pengarah syarikat tersebut bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007.