KUANTAN - Seorang pembantu makmal kerugian RM58,290 setelah diperdaya  anggota sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Terengganu pada 8 Mac lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Supritenden Mohd Wazir Mohd Yusof berkata mangsa, 58, sebelum itu menerima panggilan daripada seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai pegawai Alliance Bank yang mengatakan pengadu mempunyai pinjaman bank sebanyak RM70,000.

"Mangsa dikatakan mempunyai tunggakan bayaran sebanyak dua bulan, namun dia telah menafikannya menyebabkan panggilan itu telah disambungkan kepada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Teo.

"Teo mendakwa mangsa turut terlibat dengan kes dadah menyebabkan panggilan itu disambung pula kepada 'Insp Farid' yang mendakwanya mempunyai satu waran tangkap.

"Untuk mengelak ditahan, Inspektor Farid tadi telah meminta mangsa membuka satu akaun baharu di CIMB yang dikatakan mempunyai sistem ‘SPNS’, kononnya mampu mengawal ketat wang dalam akaun daripada dicerobohi orang lain," kata Mohd Wazir ketika dihubungi di sini hari ini.

Terpedaya dengan perkara itu, mangsa telah pergi ke CIMB cawangan Raub pada hari yang sama dan telah memberikan semua butiran berkenaan akaun baharu berkenaan kepada Insp Farid melalui aplikasi ‘Whatsapp’.

Mangsa juga telah melakukan beberapa kali transaksi pemindahan wang ke akaun tersebut sehingga berjumlah RM58,290 pada Selasa lepas dan memaklumkannya kepada Insp Farid.

"Bagaimanapun ketika mangsa memeriksa semula akaunnya pada Khamis lepas didapati wang di dalam akaun CIMB itu telah lesap dan telah dipindahkan tanpa pengetahuannya.

"Berikutan itu, mangsa baharu menyedari dirinya telah ditipu dan telah membuat laporan polis di IPD Raub bagi tindakan lanjut," katanya.

Sehubungan itu, Mohd Wazir menasihati orang ramai ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan sebarang panggilan telefon yang diterima yang mendakwa daripada pihak bank mahupun agensi kerajaan yang lain. - Bernama