KUANTAN - Seorang pemandu lori rugi RM2,000 akibat ditipu individu menyamar polis yang memaksanya membayar  wang jaminan bagi mengelak ditangkap selepas diperdaya dengan kes langgar lari di Johor.

Mangsa berusia 31 tahun itu juga ditakutkan kononnya polis menjumpai empat kilogram dadah dalam kereta atas namanya yang terlibat melanggar remaja 15 tahun.

Dia juga didakwa memiliki wang RM2.8 juta dalam akaun bank disyaki hasil aktiviti pengubahan wang haram dan satu waran tangkap sudah dikeluarkan ke atasnya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, helah suspek yang menyamar sebagai polis berjaya apabila mangsa membayar separuh daripada RM5,000 wang jaminan seperti diminta.

Menurutnya, berdasarkan keterangan mangsa, dia menerima panggilan daripada seorang anggota polis dari cawangan trafik Johor Bahru tengahari semalam.

"Dia dimaklumkan tentang kes langgar lari di satu lokasi di kawasan Johor Jaya dan penemuan dadah dalam kereta atas namanya yang terlibat.

"Mangsa menafikan kaitannya dalam kemalangan tersebut bagaimanapun dia diarahkan memberi keterangan kepada pegawai berpangkat inspektor yang mengendalikan kes tersebut,"katanya.

Mohd Wazir berkata, pegawai itu kononnya membuat semakan rekod dan mendapati mangsa ada waran tangkap atas kes pengubahan wang haram dan memilik wang dari sumber meragukan.

"Mangsa diarah membayar wang jaminan melalui akaun bank diberikan dan dia membuat pembayaran pada hari yang sama.

"Selepas membuat pembayaran, mangsa menyedari telah ditipu lalu membuat laporan polis," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan pihaknya sedang mengesan seorang lelaki pemilik akaun bank digunakan bagi membantu siasatan.