SUNGAI PETANI – Seorang wanita yang sedang menggunakan perkhidmatan dobi layan diri diserang dua lelaki bersenjatakan parang, tular di media sosial.

Kejadian dipercayai berlaku di sebuah lokasi dekat Bandar Puteri Jaya.

Melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV), kelihatan seorang wanita bertudung berada di kedai dobi layan diri itu seorang diri.

Secara tiba-tiba, datang seorang lelaki yang berlagak sebagai pelanggan, cuba mendekati dan berbual sebelum menyamun telefon bimbit mangsa.

Dalam masa sama, suspek mengacukan parang ke arah mangsa dan merampas beg tangan.

Mangsa juga diarah menyerahkan rantai tangan sebelum seorang lagi lelaki muncul dan meragut rantai leher dengan menyelak tudung mangsa.

Kedua-dua penjenayah itu kemudian melarikan diri.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintenden Sazalee Adam mengesahkan menerima laporan dan siasatan sedang dijalankan.