SUNGAI PETANI - Seorang pekerja kontrak warga Myanmar cedera ditetak dalam satu rompakan di kawasan projek pembinaan Bandar Sri Astana kira-kira jam lima pagi, tadi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Sazalee Adam berkata, kejadian berlaku apabila mangsa bersama rakannya sedang tidur, diserang tiga lelaki.

Menurutnya, berlaku pergelutan antara mangsa dan suspek selepas rakan mangsa sempat melarikan diri melalui pintu belakang rumah.

“Mangsa dikenali Kyaw Saw Win, 30-an ditetak di bahagian belakang badan dan sedang menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani,” katanya.

Antara barangan yang hilang termasuk dompet, telefon bimbit dan wang tunai bernilai RM800.

Polis meminta orang awam yang mempunyai sebarang maklumat boleh menyalurkannya bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.