SHAH ALAM - Tidak tidur lena sebahagian besar pendatang asing tanpa izin (Pati) selepas rumah pekerja yang dihuni mereka di sebuah tapak pembinaan di Setia Alam, di sini diserbu  Imigresen Selangor dalam Ops Mega 3.0, awal pagi tadi.

Operasi bermula pukul 1 pagi itu melibatkan 95 pegawai dan anggota dari Jabatan Imigresen Selangor dijalankan hasil risikan selama satu minggu dan aduan awam.

Pengarah Imigresen Selangor, Mohamad Shukri Nawi berkata, ketika serbuan, sebahagian warga asing tersebut sedang tidur dan sebaik sahaja menyedari kehadiran pihak berkuasa, ada segelintir daripada mereka cuba melarikan diri.

“Dalam operasi selama kira-kira empat jam ini, seramai 123 warga asing telah diperiksa.

“Hasilnya kita berjaya menahan 19 orang warga asing berusia lingkungan 20 hingga 50 tahun yang terdiri daripada 16 orang lelaki dan tiga orang wanita membabitkan warga Bangladesh dan Indonesia,” katanya.

Mohamad Shukri berkata, kesemua Pati yang ditahan itu kemudiannya dibawa ke Imigresen Selangor untuk tindakan lanjut.

Selain itu, beliau turut menegaskan bahawa pihaknya akan turut mengesan majikan yang dipercayai menggajikan Pati tersebut dan tindakan tegas termasuk mengheret mereka ke muka pengadilan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63.