GOMBAK - Pasar Borong Selayang digempur pihak berkuasa bagi membanteras lambakan Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati) dan kes jenayah serta penyalahgunaan dadah.

Serbuan itu dijalankan dalam Ops Cegah Jenayah Bersepadu Khas Gombak, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak dengan kerjasama Jabatan Imigresen Selangor, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, operasi bermula jam 11 malam memfokuskan kawasan tersebut susulan dikenal pasti sebagai kerapnya berlaku kes jenayah.

Menurutnya, antara kes jenayah yang dilaporkan adalah pecah rumah, curi motosikal, ragut dan samun yang disyaki dilakukan oleh Pati.

"Operasi yang tamat pada jam 7 pagi berjaya menahan seramai 48 Pati dari pelbagai negara atas pelbagai kesalahan imigresen.

"Mengikut pecahan, warga Indonesia (19 orang), Myanmar (18 orang), India (7 orang), Bangladesh (3 orang) dan Pakistan seorang," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63.

Katanya, operasi ini telah menghasilkan kejayaan dan sebagai langkah pencegahan jenayah bagi menangani kes jenayah melibatkan warga asing.

"Kita optimis dalam usaha mengurangkan kadar jenayah khususnya membabitkan warga asing dengan pelaksanaan operasi dari semasa ke semasa," katanya.