KUALA SELANGOR - Gara-gara menegur sekumpulan lelaki berlumba motosikal, seorang orang kurang upaya (OKU) ditetak dengan parang di sebuah warung di Taman Permai, Jeram awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, rakan mangsa menegur kumpulan lelaki terbabit yang berlumba di depan warung makan terbabit dan kumpulan terbabit dikatakan bersurai.

Bagaimanapun kira-kira jam 5 pagi, mangsa yang sedang minum bersama lima rakannya didatangi dua motosikal jenis Yamaha 135 LC dan Yamaha Lagenda ditunggang empat lelaki.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Md Asri A Wahab menjelaskan, dua pembonceng yang dipercayai bersenjatakan parang menyerang mangsa manakala rakannya sempat melarikan diri.

"Salah seorang penyerang menutup muka dengan baju dan mangsa tidak sempat lari kerana keseluruhan sebelah kanan anggota badannya tidak berfungsi akibat kemalangan jalan raya.

"Mangsa ditetak di bahagian tangan kiri menyebabkan urat tangan kiri putus," katanya yang memaklumkan mangsa dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut.

Katanya, hasil siasatan berjaya mengenal pasti beberapa suspek dan usaha mengesan mereka giat dijalankan sejurus laporan diterima.

"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan cedera parah dengan senjata.

"Saya menasihatkan orang ramai supaya bertenang, jangan mengambil tindakan sendiri dan tularkan kejadian secara berlebihan dengan maklumat yang tiada mengena dengan kes ini.

"Kerjasama ini penting bagi mengelakkan timbulnya perasaan marah hingga boleh mencetuskan ketegangan kaum," katanya kepada Sinar Harian.