PASIR MAS - Dua beradik dicari bagi membantu siasatan penemuan mayat seorang lelaki yang mempunyai beberapa kesan tetakan di Kampung Baru, Bukit Tuku, di sini Selasa lalu.

Dua beradik tersebut ialah Mohd Farizzuan Ismail, 23, dan abangnya, Effendy Ismail, 35, yang beralamat di Kampung Teluk Sawa, Tok Uban.

Timbalan Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Superitendan Ismail Jusoh berkata, kerjasama kedua-dua beradik itu diperlukan selepas siasatan mendapati mereka ada kaitan dengan kes tersebut.

“Jadi kita menyeru supaya kedua-dua beradik itu segera tampil bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.

“Begitu juga dengan orang ramai yang mengenali kedua-dua beradik itu supaya turut tampil membantu pihak kami dengan menghubungi balai terdekat,” katanya.

Katanya, polis percaya kedua-dua beradik itu masih lagi berada di sekitar daerah ini.

Ismail berkata, dalam kejadian Selasa lalu itu, mangsa yang berusia 28 tahun dan berasal dari Kampung Tok Pelanduk ditemui meninggal dunia di kawasan belakang sebuah rumah di Kampung Baru.

Katanya, terdapat beberapa kesan kecederaan dipercayai tetakan menggunakan senjata tajam dibahagian badan mangsa.

“Hasil siasatan mendapati kejadian tersebut berpunca daripada pergaduhan yang berlaku di satu kawasan lain di Jalan Batu-Karang,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ismail menafikan dakwaan polis menutup siasatan berhubung kes kemalangan maut Pegawai Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Anisah Ali yang dirempuh hingga meninggal dunia kira-kira dua tahun lalu.

Katanya, siasatan terhadap kes tersebut berjalan seperti biasa dan tidak pernah berhenti.

“Saya nafikan sekeras-kerasnya dakwaan mengatakan kes ini telah ditutup, sebaliknya kami sentiasa bekerja keras mengumpulkan bukti dan maklumat bagi menyelesaikan masalah kes tersebut,” katanya.