KOTA KINABALU - Mayat bayi perempuan sembilan bulan ditemui di kawasan tapak pelupusan sampah Kayu Madang, Telipok dekat sini, hari ini.

Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu ACP M Chandra berkata, mayat bayi itu ditemui orang awam kira-kira 9 pagi tadi.

“Polis menerima maklumat pada 10.40 pagi daripada orang awam mengenai penemuan mayat bayi berkenaan.

“Siasatan mendapati keadaan  bayi bengkak dan ususnya terkeluar. Bagaimanapun, masa kematian tidak dapat dipastikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Chandra berkata, mayat bayi itu dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth 1 untuk bedah siasat.

Kes itu diklasifikasikan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.

Pihak polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian itu supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat Inspektor Nur Nabila Ismailuddin di talian 013-280 9231. - Bernama