ISKANDAR PUTERI - Seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes pecah masuk sebuah kedai mati terkena tembakan apabila cuba merempuh beberapa anggota polis bertugas dengan kereta di lorong belakang di Taman Nusa Bestari, di sini, kira-kira jam 3.30 pagi tadi.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, sebelum itu, kira-kira jam 2.58 pagi, tiga anggota polis sedang membuat rondaan cegah jenayah di kawasan tersebut sebelum menemui seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan di hadapan sebuah kedai.

“Kemudian telah berlaku kejadian kejar mengejar lebih kurang 100 meter dan suspek berjaya ditangkap. Semasa usaha menggari, tiba-tiba sebuah kereta yang dipandu laju dari arah belakang meluru ke arah anggota polis.

“Salah seorang anggota polis telah melepaskan satu das tembakan ke arah kereta itu setelah memberi isyarat berhenti sebanyak tiga kali kepada pemandu kereta tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Mohd Khalil berkata, polis mendapati tembakan itu terkena pada seorang lelaki yang juga pemandu kereta dan dia maut di tempat kejadian.

“Semakan rekod jenayah ke atas suspek yang ditahan mendapati lelaki itu mempunyai beberapa rekod kesalahan lampau, manakala si mati masih dikehendaki oleh pihak polis. Barang kes yang berada dalam kereta tersebut telah dirampas untuk siasatan lanjut.

“Polis akan menjalankan siasatan bagi mengenal pasti sama ada si mati dan suspek ditahan mempunyai kaitan dalam kes pecah masuk di sekitar kawasan Iskandar Puteri berlaku sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.