BANTING - Cubaan seorang penganggur meragut beg tangan seorang penunggang motosikal wanita dalam satu kejadian semalam gagal apabila mangsa nekad mengejar suspek.

Dalam kejadian sekitar jam 1.15 petang itu, suspek berusia 22 tahun itu meragut beg tangan mangsa yang diletakkan di dalam bakul motosikalnya.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, mangsa kemudiannya nekad untuk mengejar suspek sehingga motosikal suspek terbabas sewaktu tiba di Jalan Pulai, Kanchong Darat.

"Mangsa mengejar suspek sambil menjerit meminta bantuan orang awam di kawasan itu.

"Tindakan mangsa membuatkan orang ramai turut memberikan bantuan kepadanya," katanya.

Mengulas lanjut, Azizan berkata beg tangan wanita terbabit turut ditemui bersama suspek sewaktu dia ditahan orang awam dan anggaran kerugian dialami mangsa adalah sekitar RM1,500.

Beliau berkata, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan akibat kejadian itu dan polis turut mengambil keterangannya.