BUKIT MERTAJAM - Padah menyamar sebagai anggota polis, seorang kakitangan pejabat kesihatan di negeri ini ditahan dalam satu pemeriksaan di Jalan Gajah Mati, Machang Bubok di sini, semalam.

Suspek yang berusia 32 tahun dilihat dalam keadaan mencurigakan ketika menunggang motosikal di kawasan berkenaan sebelum ditahan oleh sepasukan polis yang melakukan operasi dan rondaan cegah jenayah pada jam 9.20 malam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, pemeriksaan yang dibuat terhadap lelaki berkenaan menjumpai sepasang gari bertulisan ‘super’.

“Gari itu dijumpai dalam poket hadapan sebelah kiri jaket yang dipakainya. Kita juga jumpa satu unit walkie talkie dan dua helai baju berlogo dan bertulisan polis.

"Pemeriksaan turut dilakukan terhadap motosikal ditunggang suspek dan mendapati dia menggunakan nombor pendaftaran palsu selain nombor chasis dan nombor enjin motosikal sudah diganggu,” katanya di sini semalam.

Menurutnya, suspek dipercayai menggunakan semua barang dirampas itu untuk tujuan menyamar sebagai anggota polis dan melakukan jenayah.

“Suspek yang ditahan dibawa ke Balai Polis Machang Bubok dan kini direman untuk disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam.