KUALA TERENGGANU - Bukan sahaja keretanya dilanggar, malah seorang lelaki turut ditumbuk seorang pengguna jalan raya berhampiran Flat Ladang Gemilang di sini, Selasa lalu.

Mangsa berusia 51 tahun bersama isterinya menaiki kereta jenis Audi sebelum dilanggar sebuah Proton Wira dinaiki dua lelaki tidak dikenali kira-kira jam 9.45 malam.

Menurut sumber, insiden yang berlaku sekelip mata itu mengundang kemarahan mangsa sebelum nekad menghampiri pemandu kenderaan terbabit dan memarahi atas perbuatan dilakukan.

“Mangsa mendakwa sebelum kejadian dia sempat bunyikan hon sebagai isyarat kepada pemandu kereta yang dia masih ada di belakang kenderaan tersebut.

“Tetapi, pemandu kereta itu seolah-olah tidak mempedulikan isyarat diberikan sebelum dengan selamba langgar kereta milik mangsa,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sumber berkata, kemudian seorang lagi lelaki yang juga penumpang di dalam kereta itu keluar dan menghampiri mangsa untuk meminta maaf di atas perbuatan rakannya itu.

“Mangsa menjelaskan yang dia tidak melakukan sebarang kesalahan tetapi pemandu itu yang sepatutnya meminta maaf sebelum berlaku pertengkaran mulut di antara mangsa dan pemandu terbabit.

“Semasa pertengkaran, pemandu itu dikatakan gagal mengawal emosinya lalu menumbuk kepala mangsa sebelum sempat dileraikan isteri mangsa yang turut berada di lokasi,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Suffian Sulaiman ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian.